Nafsu lelaki

06/20/2015 16:29

Hubungan seksual sihat ‘ubat’ krisis pertengahan usia lelaki lebih 40 tahun

MILAH, 43, kehairanan, apabila suaminya, Leman, 50, berubah penampilan. Uban rambutnya tidak lagi ketara sejak diwarnakan hitam. Bunga curiga mulai menggamit hati kecilnya. Apalagi melihat gelagat Leman yang kian pandai bergaya dan sering mencuri pandang wanita muda. Pagi itu, sambil menyanyi kecil ketika bersiap di depan cermin, Milah sempat menempelak Leman “Buang tabiatlah abang ni”. Waktu itu Leman hanya senyum ‘kambing’ tetapi tangannya tetap pantas menyikat kemas dan membetulkan kemeja, seolah-olah sindiran Milah ibarat angin berlalu.

Persoalannya - buang tabiat, gatal atau apa saja ‘gelaran’ diberikan, perubahan berlaku pada lelaki yang berada pada lingkungan usia 40 tahun ke atas yang lebih sinonim dengan gelaran krisis pertengahan usia. Lebih memeningkan golongan isteri khususnya, apabila suami yang selama ini setia secara tiba-tiba menjadi rambang mata mencari isteri baru.

Seperti pepatah ‘ ibarat biang keladi, makin tua makin menjadi,’ fenomena itu pula diterima dan ditelan masalah biasa tidak dapat dielak yang lazimnya menimpa lelaki berusia 40 dan 60 tahun. Tempoh situasi itu dianggap sebahagian proses kematangan golongan usia berkenaan.

Namun, bagi sesetengah pihak, krisis pertengahan usia lebih rumit. Ia boleh menjadi masa yang tidak selesa khususnya emosi individu yang boleh membawa kepada kemurungan dan keperluan untuk psikoterapi. Pada peringkat ini, peralihan mungkin mengalami pelbagai perasaan tidak puas hati dengan kehidupan dan gaya hidup yang mungkin memberikan mereka dengan kebahagiaan selama bertahun-tahun, bosan dengan mereka yang berada di sekeliling, rimas dengan pasangan dan perkahwinan serta terbit rasa keinginan menjalin hubungan baru penuh ghairah dan intim, termasuk mula mencari isteri baru.

Dalam keadaan lelaki berbangga menyatakan ‘hidup bermula pada usia 40 tahun,’ racun berbisa menunggu lelaki yang tidak menyedari krisis itu sebenarnya boleh memakan diri kerana ia membabitkan perubahan aspek psikologi.

Perunding Kinikal Andrologi, Dr Mohd Ismail Mohd Tambi, mempunyai pandangan tersendiri berhubung permasalahan ini.

“Segala-gala mengenai krisis pertengahan usia tidak menarik. Lebih parah apabila isteri tidak berusaha membantu perubahan dialami suami, dan si suami pula langsung tidak menyedari yang dirinya berada dalam krisis.

“Memburukkan keadaan apabila aspek psikologi menyenaraikan 9 daripada 10 lelaki dikesan berhadapan krisis ini.

“Ubat krisis ini ialah hubungan seksual yang sihat antara suami dan isteri. Ini kerana kekurangan hubungan intim boleh menjejaskan kesihatan lelaki dan wanita, malah boleh menjadi petanda kepada masalah lain termasuk prestasi kerja menurun, gatal terhadap wanita muda dan sebagainya, tetapi ramai yang tidak endah mengenai aspek seksual yang mustahak diberikan perhatian.

“Bukan saja lelaki tidak mempunyai ilmu kesihatan dan perubahan diri sendiri. Tetapi turut membabitkan isteri yang cenderung memikirkan perubahan dilalui suami sebagai normal lelaki apabila menjengah ke usia di gelar krisis pertengahan usia yang biasanya bermula pada usia 40 tahun ke atas.

“Bila bercakap mengenai krisis pertengahan usia, kita tidak lari daripada membicarakan soal seksual. Sebagai contoh jika sebelum itu lelaki itu melakukan hubungan sekali seminggu, tetapi apabila memasuki usia berkenaan, jumlahnya semakin berkurangan. Isteri yang prihatin sudah pasti akan melakukan sesuatu untuk membolehkan suaminya melakukan kekerapan bersama seperti sebelumnya.

Bukannya membiarkan saja keadaan (tidak melakukan hubungan seksual) itu berlarutan.

“Jika tidak, ‘kekosongan’ itu akan diisi oleh suami dengan melakukan sesuatu yang membolehkan dia berasa puas dan dihargai termasuk menggoda wanita lebih muda, membeli kereta baru atau berperwatakan seperti orang muda. ‘Kekosongan’ yang saya maksudkan ialah keinginan seksual yang tidak dilempiaskan,” katanya.

Jelasnya hubungan seksual adalah nikmat diberi Allah SWT yang tidak seharusnya dilihat lucah, sebaliknya hikmah melakukannya memberikan pelbagai kebaikan kepada tubuh badan sama ada kepada lelaki atau wanita daripada pelbagai segi.

Antaranya kajian Dr Michael Cirigliano dari University of Pennsylvania School of Medicine yang menyatakan hubungan intim tiga kali seminggu membakar sekitar ribuan kalori yang menyamai berlari sejauh 75 kilometer. Selain meningkatkan kadar oksigen dalam sel, membantu organ-organ dan jaringannya untuk bekerja secara optimal.

Ia juga dikatakan mampu menurunkan kolesterol dalam tubuh, meningkatkan keseimbangan kolesterol baik dan jahat. Secara berterus terang, Dr Ismail berkata, yang menjadi ‘ibu’ kepada krisis pertengahan usia ialah bila mana pasangan itu jahil mengenai nafsu yang diperturunkan Allah SWT ke atas manusia tanpa mengenal sempadan geografi.

Tidak keterlaluan beliau katakan, pasangan yang mampu hidup bahagia hingga ke usia senja dan panjang umurnya disebabkan faktor hubungan intim secara sihat berbanding pasangan tidak melakukannya.

Dr Mohd Ismail berkata, sepanjang puluhan tahun bergelumang dalam dunia kesihatan lelaki, ramai lelaki berhadapan krisis pertengahan usia yang tidak dibantu sama ada oleh dirinya sendiri, keluarga atau isterinya sendiri, sering menjadi mangsa penipuan pihak yang ingin mengambil kesempatan ke atas masalah dihadapinya itu.
Apa yang dikesali, pada peringkat akhir, kehidupan pada usia senja yang seharusnya gembira dikelilingi isteri, anak-anak dan cucu bertukar menjadi mimpi ngeri diselubungi sesalan.

“Perkara paling asas ialah hubungan seksual sihat, menjaga pemakanan dan bersenam, selain berada dalam persekitaran yang positif. Ini kerana apabila lelaki dengan emosi yang tidak stabil mula berfikiran negatif, membandingkan kejayaan dirinya dengan rakan, sekali gus memberi tekanan dan mula berasakan kehidupannya akan berakhir tanpa sebarang pencapaian.

“Keadaan ini diburukkan lagi dengan perubahan hormon yang mempengaruhi bukan saja fizikal tetapi keinginan seksual dan dihimpit permasalahan peribadi dengan pasangan. Hormon testosteron bukan saja mempengaruhi keinginan seksual, tetapi apabila parasnya menurun ia juga menjejaskan pemikiran dan tubuh badan,” katanya.


Wanita lebih stabil kerana tanggungjawab rumah tangga

BIARPUN krisis pertengahan usia dikaitkan dengan lelaki, hakikatnya wanita juga sebenarnya tidak terkecuali. Namun, wanita dapat menanganinya dengan mudah kerana mereka ada tanggungjawab membesarkan anak-anak yang ‘lebih mengikat’ berbanding lelaki yang secara amnya lebih lepas bebas tanpa terikat dengan urusan rumah tangga.

Dr Mohd Ismail berkata, krisis pertengahan usia di kalangan lelaki juga boleh dilihat pada perubahan fisiologi. Menghampiri usia 40 tahun sekiranya wanita memiliki menopaus, lelaki tidak terkecuali berhadapan andropaus yang mana hormon testosteron menyusut.

Menyebabkan perubahan fizikal yang boleh dilihat, antaranya jika dulu tegap tetapi sekarang sudah gemuk dan buncit. Fungsi seksual juga berkurangan sekali gus mempengaruhi sosiologi.

Perubahan biologi dilalui oleh semua orang lelaki dan wanita tetapi perubahan itu tidak sama. Ia berkait dengan isu paling asas, menjaga hubungan seksual, pemakanan dan mengawal berat badan dan berada dalam suasana persekitaran yang kondusif.

“Apabila anak-anak sudah besar, hubungan seksual pula menjadi hambar. Kemudian timbul soal isteri ‘mencabar’ dengan perkataan ‘alah, awak sudah tua, siapa pun tak mahu’ menyebabkan berkeinginan mengurat wanita muda atau berkahwin muda, mulai timbul. Kalau isteri muda yang dicari itu baik, tidak mengapa, tetapi sebaliknya, ia boleh meninggalkan impak negatif dalam hidup termasuk harta di kikis atau tertipu,” katanya.

Justeru bagaimana membantu? Dr Mohd Ismail berkata, lelaki yang berdepan dengan krisis pertengahan usia selalunya tidak menyedari masalah sebenar. Justeru, isteri atau ahli keluarga rapat boleh membantu.

“Perubahan sikap dan mood boleh memberi petunjuk masalah sebenar dilalui. Rujuk pada pakar sekiranya ia berkaitan andropaus. Pengambilan terapi gantian hormon antara rawatan yang ditawarkan dan ia nyata dapat menjadi penawar,” katanya.

Turut perlu ada dalam agenda hidup ialah perancangan. Sungguhpun ia kelihatan remeh, tetapi sekiranya pasangan suami isteri tahu tujuan hidup berkeluarga yang sempurna, tahu apa yang perlu dilakukan bila anak-anak meningkat dewasa, yang mulai meninggalkan mereka berdua, kemungkinan krisis lebih mudah diuruskan secara sihat.


INFO
Krisis pertengahan usia


  • Ungkapan ‘mid life crisis’ atau krisis pertengahan usia pertama kali diperkenalkan oleh Jaques Elliot pada 1965. Seterusnya digunakan secara meluas oleh ahli psikologi seperti Freud Carl Jung.
     
  • Ia membawa maksud tempoh peralihan daripada muda ke matang. Individu cenderung melakukan perkara yang menjadi impiannya, tetapi tidak mampu dilakukan ketika muda atau sebelum ekonomi tidak kukuh.
     
  • Krisis ini dialami lelaki dan wanita.
     
  • Bezanya, lelaki memberi tumpuan secara langsung ke atas pencapaian mereka, dan keinginan membuktikan kejayaan itu, kepada orang lain di sekeliling mereka, berbanding wanita yang menjurus kepada penampilan fizikal, daya tarikan seksual diri serta dan apa yang mereka boleh lakukan lantaran anak-anak sudah dewasa.



Tips tangani krisis pertengahan usia:

  • Kenal pasti tahap seksual masing-masing, rawat sekiranya dikesan ada masalah.
     
  • Amalkan makanan sihat, seimbang, lakukan senaman.
     
  • Menjelaskan kepada pasangan perubahan dihadapi itu dan bagaimana cara anda berdua mencari jalan penyelesaian.
     
  • Berbincang sebelum mengambil sesuatu keputusan termasuk mewarna rambut atau menukar kereta baru.
     
  • Dapatkan bantuan profesional termasuk pelbagai jenis terapi, perubatan, dan rawatan holistik.
     
  • Melihat krisis pada pandangan positif, fikir idea baru, pertimbangkan secara teliti bagaimana mengurangkan kesan krisis.
     
  • Teroka aktiviti baru boleh meningkatkan asas pengetahuan serta membantu anda bergerak keluar dari zon selesa.
     
  • Sertai kerja sukarela boleh menawarkan perspektif baru dalam hidup. Sebagai contoh membantu mangsa bencana alam.
     
  • Dekatkan diri dengan mendengar ceramah agama serta motivasi. Selalunya, kata-kata baik dapat melembutkan hati yang keras.
     
  • Merancang hidup. Mengambil langkah-langkah ke arah perubahan positif boleh membawa tenaga baru ke dalam perkahwinan dan kerjaya.
     
  • Buat satu senarai semua untuk mencapai pada tahun depan, dalam tempoh lima tahun akan datang dan dalam tempoh dua puluh tahun akan datang.
     
  • Berkomunikasi dengan pasangan mengenai matlamat peribadi baru dan bagaimana ia boleh dicapai.

 

SELUAR DALAM BIO MA GNET - Cara Mudah Merawat Masalah & Fungsi Seksual Lelaki Dengan Gelombang Elektromagnet Yang Sihat

 

Back

© 2015 All rights reserved.

Make a free websiteWebnode